Wednesday, April 13, 2011

Real tetap berwaspada




LONDON – Real Madrid bakal melakukan kesilapan sekiranya tidak memberi fokus kepada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara bertemu Tottenham Hotspur awal pagi esok.

Selepas mencatat kemenangan selesa 4-0 di laman sendiri pada aksi suku akhir pertama minggu lalu, skuad bimbingan Jose Mourinho ini mungkin tidak berdepan masalah besar.

Meskipun Mourinho merehatkan beberapa pemain utama untuk pertemuan menentang Barcelona pada aksi Liga Sepanyol pada Sabtu ini dan final Piala Raja-Raja Sepanyol empat hari kemudian, Tottenham dilihat sukar untuk mengejar defisit empat gol itu.

Penolong jurulatih Real Madrid, Aitor Karanka berkata, persembahan Tottenham ketika menewaskan Stoke City 3-2 pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu menunjukkan bahawa Real tetap perlu berwaspada untuk aksi awal pagi esok.

“Tottenham berjaya menjaringkan tiga gol dalam tempoh hanya setengah jam. Jadi ia mampu untuk memberikan kesukaran kepada kami,” kata Karanka.

Tottenham bagaimanapun tetap memiliki kelemahan tersendiri apabila mereka dilihat sukar meledak gol ketika beraksi di pentas Liga Juara- Juara dan mudah pula untuk dibolosi lawan.

Real menjadi pasukan kedua selepas Inter Milan yang berjaya menjaringkan empat gol ketika berdepan Tottenham, manakala Young Boys turut berjaya meledak tiga gol pada 28 minit pertama ketika bertemu Tottenham pada aksi ke-ayakan.

Satu lagi berita buruk buat Tottenham, Cristiano Ronaldo sudah pulih daripada kecederaan dan menjaringkan gol ketika mereka menewaskan Athletic Bilbao 3-0 awal pagi Ahad lalu, seterusnya mengumpulkan 39 gol peribadinya musim ini.

Karim Benzema juga sudah kembali menjalani latihan setelah terlepas tiga perlawanan akibat kecederaan kaki.

Perancang tengah Real, Kaka pula memberitahu, dia sedang mengembalikan rentak permainannya setelah menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti ketika menentang Bilbao.

“Saya rasa seperti masih berhutang dengan Real. Saya agak kecewa kerana tidak dapat memenuhi jangkaan awal para penyokong akibat dilanda masalah kecederaan,” jelas Kaka. – Agensi..dari terbitan kosmo

No comments: