KUALA LUMPUR - Skim Pembiayaan Khas bagi perumahan awam akan mula
beroperasi 1 Mac ini bagi membantu mereka yang berminat memiliki rumah
di kawasan ibu negara.
Skim itu dilaksanakan di bawah Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan juga Perumahan Awam DBKL.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Jemaah Menteri
pada 18 Januari lepas bersetuju dengan skim itu yang dicadangkan
Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar.
Beliau berkata, ia akan dikendalikan Syarikat Perumahan Wilayah
Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan dengan
dana pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Melalui skim khas ini, masalah memperoleh pinjaman diyakini dapat
diatasi dan membantu keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana
untuk memiliki rumah.
"Saya yakin melalui skim ini, bakal pembeli akan lebih mudah membeli
dan memiliki rumah serta dapat mengatasi pelbagai kerenah dalam
memperoleh pinjaman yang dihadapi selama ini," katanya pada majlis
pelancaran Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 di Dataran Merdeka di
sini semalam.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja
Zainal Abidin.
Najib berkata, Wilayah Persekutuan adalah cerminan wajah masa depan
Malaysia dan ia perlu menjadi contoh terbaik kepada bentuk perancangan
pembangunan yang menyeluruh dan bertanggungjawab serta pelaksanaan
pembangunan dengan amalan terbaik.
No comments:
Post a Comment