Thursday, January 5, 2012

‘Safee tentukan’



Safee Sali
Safee Sali
“KEPUTUSAN di tangan Safee Sali sendiri. Harap dia menghubungi kami jika sudah memutuskan sesuatu keputusan mengenai masa depannya di Pelita Jaya.” 

Demikian nasihat Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berhubung kemelut melanda Liga Super Indonesia (ISL) dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) yang tempiasnya turut membabitkan Safee.
Menurut Hamidin, FAM sentiasa memantau perkembangan terkini isu berkenaan selain mengadakan pertemuan dengan seorang pegawai tertinggi PSSI baru-baru ini.
“Saya dan Setiausaha Agung FAM (Datuk Azzuddin Ahmad) mengadakan perbincangan dengan pegawai PSSI itu untuk mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai isu ini. 

“Kami sebenarnya tidak mahu mencampuri urusan badan induk bola sepak mereka tetapi berharap PSSI dapat menyelesaikan isu ini dengan segera. 

“Kami turut memberi ingatan dan nasihat kepada Safee supaya mengambil kira semua hal apa yang berlaku sebelum membuat keputusan kerana kontraknya bakal berakhir 31 Januari ini,” kata Hamidin di Bukit Jalil, semalam. 

Sementara itu, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab Rahim yang dihubungi di Jakarta semalam berkata, dia dan Safee masih berbincang serta mendapatkan pandangan beberapa pihak dan belum membuat apa-apa keputusan. 
“Kami sudah menyampaikan pandangan kami kepada pihak kelab dan mendengar apa yang boleh mereka lakukan untuk Safee. Kami kini menanti maklum balas daripada pihak kelab berkenaan,” kata Zakaria. 

No comments: