Thursday, September 29, 2011

FAM sedia bantu



SAFEE SALI



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berjanji akan berusaha membantu pemain negara, Mohd. Safee Sali menyelesaikan masalah permit kerja dan visa sekiranya penyerang sensasi kebangsaan itu mendapat tawaran beraksi bersama kelab England, Cardiff City.
Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui, memang agak sukar untuk Safee mendapatkan permit kerja dan visa berikutan peraturan yang telah lama dilaksanakan.
Begitupun ujarnya, masih ada peluang untuk menyelesaikan masalah terbabit melalui budi bicara antara FAM, Cardiff City dan juga Persatuan Bola Sepak England.
“Memang susah sebab kalau kita minta longgarkan syarat, takut ramai pula orang lain yang merungut tetapi kita boleh guna budi bicara.
“FAM sentiasa sokong hasrat Safee dan saya harap, Cardiff City melalui pemiliknya, Datuk Chan Tien Ghee dapat menyediakan satu mekanisme terbaik buatnya.
“Saya difahamkan pengurus pasukan, Malky Mackay nampak berminat dengan bakat yang ada pada Safee,” katanya selepas majlis perasmian Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun Piala Sultan Johor di Johor Bahru semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Safee mengalami kesukaran bagi menyarung jersi Cardiff gara-gara masalah permit kerja.
Antaranya termasuklah ranking Malaysia yang ketika ini begitu jauh daripada syarat kelayakan kelompok 70 pasukan terbaik Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain perlu beraksi lebih 75 peratus dalam perlawanan berstatus A ketika mewakili pasukan kebangsaan.
Sementara itu, Tien Ghee mengesahkan Safee akan menjalani ujian kedua dalam tempoh terdekat dan akan mengadakan perbincangan dengan kelab yang diwakili Safee, Pelita Jaya untuk membawa pemain kebangsaan itu ke Cardiff City.
"Safee harus kembali ke Pelita Jaya memandangkan saingan Liga Super Indonesia akan bermula tidak lama lagi dan saya akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan kelab berkenaan untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi membawa Safee menjalani latihan kedua," kata Tien Ghee.

No comments: