Wednesday, January 5, 2011

PM bangga skuad negara




SATU majlis makan tengah hari bagi meraikan para pemain dan pegawai skuad bola sepak kebangsaan akan diadakan di Putrajaya, Rabu ini.


SATU majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak bakal diadakan bagi meraikan kejayaan skuad bola sepak kebangsaan yang muncul juara Kejohanan Piala Suzuki AFF 2010, Rabu ini.
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dalam satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya semalam.
Menurut Shabery, majlis tersebut akan diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Sri Perdana, Putrajaya.
"Susulan kejayaan skuad bola sepak kebangsaan menjuarai Piala Suzuki AFF, Kabinet telah bersetuju untuk mengadakan satu majlis makan tengah hari bagi meraikan pemain-pemain serta pegawai pasukan," jelas Shabery.
Jelas Shabery lagi, pada majlis itu nanti, Perdana Menteri akan mengumumkan sendiri ganjaran yang bakal diberikan kepada skuad bola sepak kebangsaan di atas kejayaan yang mereka lakarkan itu.
Ternyata, kejayaan yang dilakarkan skuad bola sepak kebangsaan sememangnya wajar diberikan penghargaan bukan sahaja daripada pihak kerajaan tetapi sektor swasta juga turut dialu-alukan.
Apa tidaknya, selepas 14 tahun menanti, akhirnya trofi berprestij di Asia Tenggara itu singgah juga di bumi Malaysia sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 1996 di Singapura.
Kejayaan skuad negara yang dibimbing K. Rajagobal itu hadir selepas mencatatkan kemenangan secara agregat 4-2 ke atas Indonesia pada aksi final yang dijalankan secara timbal balik pada 26 dan 29 Disember 2010 yang lalu.

No comments: