Lionel Messi
|
BINTANG Argentina, Lionel Messi hanya memerlukan 34 gol sahaja lagi
untuk muncul selaku penjaring terbanyak kelab gergasi Sepanyol,
Barcelona. Awal pagi semalam, Messi membuktikan ketajaman sentuhan
penyudahnya apabila meledak hatrik bagi membantu Barcelona melakar
kemenangan 4-0 ke atas Viktoria Plzen pada aksi Kumpulan H kempen Liga
Juara-Juara.
Hatrik tersebut membolehkan Messi kini merekodkan 202 gol dalam 286
penampilannya bersama Barcelona. “Messi pasti mampu untuk memintas rekod
(Cesar) Rodriguez untuk menjadi pemain paling banyak menjaringkan gol
buat Barcelona. “Saya percaya ia bakal menjadi kenyataan dalam musim ini
juga, usianya baru menjangkau 24 tahun,” kata jurulatih Barcelona, Pep
Guardiola. Rodriguez yang juga bekas penyerang antarabangsa Sepanyol,
masih memegang rekod sebagai penjaring terbanyak Barcelona dengan 235
gol yang dilakukannya pada musim 1942 hingga 1955.